MIJAN PANDAI BESI
KOTA BHARU, KELANTAN: Menceburi
dalam bidang tukang besi apatah lagi untuk memahirkan diri sebagai seorang pandai
besi bukanlah suatu kerja yang mudah kalau tidak disertai dengan minat dan
melakukannya dengan tekun atau mudah patah semangat. Tetapi lazimnya, bagi yang
ingin menceburi bidang itu mereka telah sejak awal bersedia mempersiapkan diri
dengan ilmu yang secukupnya, jika tidak barangan yang dihasilkan tidak akan
dianggap terbaik dan bermutu.
Minat untuk menjadi seorang tukang
besi itu adalah asas sebelum memulakan kerjaya sedemikian, begitulah sedikit
luahan seorang tukang dan pandai besi, Mohd. Almizan Mat Husein atau Mijan, 36,
dari Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan
RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya
yang dijadikan bengkel pertukangan baru-baru ini.
Menurut Mijan, sejarah beliau
sebagai tukang besi bermula pada tahun 2000. Minatnya terhadap kerja-kerja besi
berputik sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi. Pada awalnya, beliau hanya salah
seorang pekerja kampung seperti bekerja sebagai buruh binaan, memasang wayar
elektrik dari rumah ke rumah, mengecat rumah dan sebagainya yang memperolehi
pendapatan hanya dalam ala kadar saja.
Namun, setelah beliau semakin
meningkat dewasa dan minatnya semakin subur apatah lagi pada ketika itu dia
banyak menerima tempahan daripada beberapa pihak yang memintanya untuk
mengusahakannya. Sejak itulah, beliau bersara dari melakukan kerja-kerja
kampung lantas menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja sebagai tukang besi
itu.
“Sebenarnya, keturunan saya
sendiri dari sebelah bapa adalah seorang tukang besi yang mahir yang saya
jadikan sebagai guru utama untuk meneruskan sebagai tukang besi”, ujarnya
ketika diminta dari siapakah beliau memperolehi ilmu sebagai tukang dan
pandai besi itu.
Bahkan menurutnya, ketika beliau
masih di bangku persekolahan, beliau sememangnya acap kali melihat pakar-pakar
dalam pembuatan besi yang menyebabkan beliau berminat ke arah itu. Malahan
ketika waktu lapang ketika dia masih menuntut di sekolah menengah, beliau
pernah menghasilkan beberapa jenis sarung golok dan sebagainya. Sejak itu
beliau merasakan, dia mampu meneruskan bidang itu dengan jayanya jika diusahakannya.
Dia turut menimba ilmu bertukang
dan pandai besi ini daripada salah seorang pakar besi dari Kampung Padang
Tengah, Ketereh, manakala ilmu memukul besi beliau perolehi dari Pekan Raja.
Kesemua ilmu tentang pembuatan besi itu beliau perolehi terus dari tukang-tukang
besi yang disegani dari kedua-dua kampung itu.
“Sehingga kini, saya menerima
tempahan di antara tiga atau empat orang saja. Saya tidak menerima tempahan
lebih dari itu kerana untuk menyiapkan barangan besi memerlukan tumpuan khusus
dan perlu dilakukan dengan sempurna untuk menghasilkan barangan bermutu”,
jelasnya.
Katanya menambah, dari segi harga
pula, dia menjual barangan besi berkenaan dengan harga RM800 sebilah, namun
harga berkenaan hanya dijual dalam negeri Kelantan. Tetapi jika dijual ke luar
Kelantan pula, harganya berbeza kerana dilihat dari segi bilahnya.
Manakala harga tertinggi setiap
bilah yang pernah dijualnya adalah kira-kira RM800, itupun dijual hanya mata
saja tetapi tidak termasuk ulunya. Manakala satu set barangan besi termasuk
sarungnya beliau jual dengan harga RM1,600 adalah paling mahal setakat ini yang
pernah ditempah darinya. Ada
juga senjata berkenaan dijual dengan harga RM1,000 berdasarkan kepada kualiti
pembuatannya.
Kebanyakan barangan besi yangmeliputi senjata Melayu itu
bukan semata-mata dijual di kawasan Ketereh tetapi turut dijual di Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan
paling jauh setakat ini adalah Singapura. Kebiasaannya jualan barangan besi
seumpama itu, dia mendapatkan khidmat daripada penjual daripada Pahang dan
Johor yang mempromosikan barangan besi buatannya.
Ditanya bagaimana peminat
barangan besi dari luar Kelantan mengetahui beliau sebagai tukang dan pandai
besi. Katanya, dia mempromosikan buatannya itu melalui khidmat Facebook iaitu
melalui grup facebook yang bertindak mempromosikan barangan besi ahli-ahlinya.
Dalam grupnya terdapat kemahiran sebagai tukang besi, batu logam dan
sebagainya.
Grup berkenaan katanya adalah
untuk mengembangkan hasil seni tempatan kepada masyarakat dan
peminat-peminatnya sama ada dalam negeri dan luar negeri. Paling ramai tukang
dan peserta dalam grup facebook tersebut adalah terdiri dari tukang besi dan
batu logam.
“Keahlian dalam grup batu logam
kini mencecah sehingga 16,000 ahli. Manakala grup barangan besi (pisau, parang,
golok, keris, pedang) telah melebih 20,000 ahli. Keahlian ini sebenarnya
termasuk dari negara Thailand,
Filipina dan Indonesia.
Kata Mijan, di Kelantan
kebanyakan barangan besi dipromosikan sendiri oleh tukang besi itu dengan
harapan untuk memperkenalkan hasil seni orang Kelantan di mata luar. Namun,
bagi negeri-negeri lain adalah sebaliknya iaitu grup-grup berkenaan akan
mempromosi barangan besi hasil tangan orang lain bukannya dari hasil sendiri.
Mijan menjelaskan, untuk
menyiapkan barangan yang telah ditempah amat merumitkan dan beliau perlu
memyiapkannya dengan sempurna dan sebagaimana yang dijanjikan. Misalnya bagi
sebilah golok, beliau kadang-kadang mengambil masa selama sehari dan
kadang-kadang tiga atau empat hari untuk disiapkan. Masa yang diperuntukkan ini
menjadi kelaziman bagi sesetengah tukang besi.
“Tetapi jika orang yang menempah
itu inginkan golok yang agak lain dari yang lain, saya
perlukan masa sehingga seminggu. Pastinya menyiapkan senjata itu agak memuaskan
dan lain dari yang lain”, katanya.
Beliau juga turut menghasilkan
pedang yang menjadi minat sebilangan masyarakat hari ini. Namun, ketika
wawancara ini dijalankan, kebanyakan pedang yang telah disiapkannya telah habis
terjual.
“Saya pernah juga menerima kata-kata semangat, dorongan dan pujian yang merujuk barangan besi yang saya hasilkan ini amat digemari kerana ada seninya", ujar Mijan.
Katanya, beliau mendapatkan
bekalan besi yang terdiri dari senjata tradisional Melayu untuk menghasilkan pisau, parang, golok, keris dan pedang darip
tempat besi buruk. Kalau di luar Kelantan pula, biasanya bekalan besi buruk
boleh diperolehi dari pihak kilang papan.
“Namun, terdapat juga penempah yang
membawa besi sendiri untuk dibuat barangan itu. Dengan cara yang demikian,
tukang besi seperti saya tidak perlulah mencarinya di merata tempat dan tentunya
menjimatkan masanya pula.
“Setakat ini bagi saya, besi
terbaik yang mudah dibuat senjata adalah jenis besi mata ketam. Namun,
kebiasaan bagi tukang-tukang besi menggunakan besi spring kenderaan”, ujar
Mijan.
Ditanya tentang sesetengah tukang
besi menggunakan besi batang paip. Beliau menjelaskannya, setakat ini beliau
belum pernah menggunakan besi jenis itu. Namun, kalau setakat untuk
menghasilkan keris, menjadi kelaziman bagi sesetengah tukang besi menggunakan
besi batang paip. Walau bagaimanapun, kalau untuk menghasilkan golok
menggunakan besi batang paip beliau tidak dapat menyatakannya kerana beliau belum
pernah melihatnya lagi.
Bercakap tentang pekerja pula, buat
masa sekarang hanya dia seorang saja pekerja untuk menyiapkan tempahan yang
dibuat. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat banyak tempahan dan dia tidak
dapat menyiapkannya seorang diri pastinya dia akan meminjam salah seorang
pekerja yang merupakan rakannya sendiri yang juga mahir dalam selok-belok
pertukangan besi untuk membantunya.
Walaupun begitu, salah seorang
rakan yang dimaksudkan itu datang awal bermula jam 8.00 pagi dan pulang jam 3.00 petang
setiap hari. Keperluan kepada pembantu itu menurutnya berdasarkan kepada
keadaan semasa.
Menurutnya, berbanding dengan
kerja-kerja kampung yang pernah dilakukannya sebelum ini, beliau lebih berminat
dan begitu seronok sebagai seorang tukang dan pandai besi. Ini kerana, sebagai
tukang besi tidak perlu terikat kepada masa (masa fleksibel). Sekiranya, dia perlu lakukan ketika masa mana dia akan lakukannya berdasarkan
kepada mood dirinya sendiri.
Apatah lagi menurutnya, jika
sesuatu barangan tempahan dapat disiapkan dia akan berasa puas hati kerana
telah berjaya menyiapkannya sebagaimana yang dipinta. Namun, pada suatu ketika barangan yang dihasilkannya ketika itu tidak begitu
menjadi dan dirinya tidak berasa puas setelah didapati kerja-kerja yang
dilakukannya itu tidak membuahkan hasil yang sebagaimana yang sepatutnya. Hal ini berlaku ketika beliau masih belum mahir dengan kerja-kerja tersebut.
Ditanya berapa kali dia
menyiapkan barangan tempahan tetapi tidak menjadi, dia tidak menyatakannya.
Namun, suatu hal yang dianggapkan sukar baginya ialah untuk membuat lenggokan
besi itu yang dianggap terlalu sukar kerana pada masa itu beliau masih belum
berpengalaman sepenuhnya. Kalau barangan itu berhasil dibuat, namun lenggokan
besi itu tidak memuaskan hatinya. Jadi, barangan berkenaan terpaksa dibuang dan
dia akan menghasilkannya lagi sehingga hatinya berasa puas walaupun
memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk menyiapkannya. Namun, menurutnya,
setakat ini apa juga tempahan yang diterimanya semuanya berhasil dan orang yang
menempah darinya turut berpuas hati.
Di antara barangan yang dibuatnya
seperti golok, parang, sadat, lawi ayam, keris, badik, sulam dan pedang.
Maknanya kesemua jenis senjata Melayu dia akan membuatnya apabila mendapat
tempahan kecuali kapak.
Ditanya kenapa kapak sahaja yang
tidak berhasil dibuatnya. Beliau menjelaskan, kapak tidak akan berhasil jika
dilakukan hanya seorang, maknanya ia perlu dibuat oleh dua orang. Kesukarannya
adalah untuk membentuk lubang itu yang merumitkannya.
Menurutnya, jika alat senjata
tersebut didapati rosak atau sebagainya apatah lagi kerosakan itu berlaku ketika
berurusan dengannya, dia akan cubamembaikinya atau menggantikannya dengan yang lain. Ini kerana, jika besi yang
dicarinya sendiri dia boleh memberikan jaminan tersebut. Namun, jika penggunaan besi untuk
menghasilkan senjata itu bukan darinya (dibuat dengan tukang besi lain), dia
tidak dapat memberikan jaminannya kerana dia tidak tahu apakah sifat besi itu.
Sebarang pertanyaan
dan tempahan, sila hubungi beliau di talian: 010-9390132
Mohd. Almizan Mat Husein atau Mijan.
Mijan ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel besinya.
Beberapa bilah golok yang masih untuk disiapkan ulu dan sarungnya.
Antara beberapa bilah senjata Melayu yang telah siap untuk diserahkan kepada pihak yang menempah.
Penggunaan air adalah penting ketika proses menyiapkan barangan besi.
Di antara kayu yang digunakan untuk menghasilkan ulu senjata itu.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan