RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 10 November 2016

Penulis dan Undang-undang


PENULIS DAN UNDANG-UNDANG

MENULIS bukannya mudah. Seseorang penulis perlu memiliki kesabaran, ketekunan dan minat yang mendalam untuk menghasilkan tulisan atau karya-karya yang bermutu.

Keadaan ini memang disedari bahawa kebanyakan penerbit media massa tanah air hanya memerlukan karya-karya yang bermutu semata-mata dan menepati hal ehwal semasa untuk disiarkan. Paling penting ialah segala tulisan itu boleh mengajak masyarakat pembaca memperolehi pengetahuan darinya.

Banyak perkara yang perlu diketahui dan boleh dijadikan asas oleh setiap penulis di dalam menghasilkan sesuatu bentuk karya itu. Di antaranya penulis perlu banyak membaca, belajar dan bergaul dengan masyarakat.

Sememangnya, membaca banyak manfaatnya, boleh meluas dan mematangkan minda. Kalau kita tidak mengetahui tentang sesuatu tempat menarik yang belum pernah kita kunjungi atau untuk mendapatkan maklumat tentang keadaan sosio-ekonomi rakyat di sesebuah negara, membacalah yang boleh memberikan jawapannya.

Begitu juga kalau kita ingin mendapatkan sesuatu maklumat berhubung dengan kesihatan, sains, alam sekitar dan sebagainya, dengan kaedah pembelajaran, seminar dan perbincangan, dengan membaca juga kita memperolehi maklumat itu.

Di samping itu, berhubung dengan hal kemasyarakatan, penulis perlu belajar walaupun golongan ini telah terdidik atau telah banyak menimba ilmu pengetahuan. Dalam konteks belajar, budaya bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung boleh dijadikan amalan untuk mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Penulis tidak perlu angkuh bahawa mereka telah terdidik dan banyak pengetahuan tentangnya.

Berikutan penulis diumpamakan “penyampai maklumat” kepada masyarakat, mereka juga berhak mendapat ganjaran atau honorarium yang adil sesuai dengan pengorbanan mereka. Tanpa penulis yang mencoretkan ilham, berkemungkinan segala maklumat dan perkara yang penting tidak dapat diketahui umum.

Tetapi benarkah penulis boleh hidup mewah dengan sekadar menulis semata-mata? Memang ada di kalangan segelintir penulis yang boleh hidup mewah dengan menulis genre seperti artikel, skrip drama radio, televisyen dan filem, cerpen, puisi dan novel. Penulis yang memperolehi ganjaran lumayan adalah penulis yang telah mencipta nama dan telah dikenali di dada akhbar dan majalah serta penerbit media cetak dan elektronik. Bagaimana pula dengan penulis-penulis muda?

Mungkin masyarakat pembaca telah sedia maklum bahawa ramai di kalangan penulis muda yang masih berjuang dengan penanya.

Kebanyakan ganjaran dan honorarium yang diberikan oleh kebanyakan akhbar dan majalah tidak begitu memberangsangkan penulis itu sendiri. Paling menyedihkan lagi ialah, segala ganjaran itu lambat diterima. Kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun. Itupun penulis hanya dibayar RM10 hingga RM80 saja.

Kadang-kadang terdapat penerbit media cetak yang langsung tidak mempedulikan ganjaran kepada penulis sedangkan bahan (majalah) dijual amat laris di pasaran. Malah terdapat penerbit yang memberikan ganjaran setelah menerima surat tuntutan dan selepas itu karya-karya dari penulis berkenaan digam. Hal yang paling teruk, didapati syarikat penerbitan yang menerbitkan karya penulis itu telah muflis dan gulung tikar sedangkan hutang mereka tidak juga dijelaskan kepada penulis.

Inilah perkara dan beberapa kelemahan yang melibatkan media cetak di negara ini. Penulis dianaktirikan asalkan mereka mendapat untung dari penat dan kesusahan penulis.

Penulis bukan sahaja perlu menulis tetapi turut berfikir, apakah bahan yang akan ditulisnya dan apakah mesej yang akan disampaikan nanti. Selain itu, penulis perlu dan wajib mematuhi beberapa akta, undang-undang atau peraturan berhubung dengan penulisan dan penerbitan karya di negara ini seperti Akta Hak Cipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Kontrak 1950, Akta Rahsia Rasmi 1972, Undang-undang Penghinaan Mahkamah, Akta Keselamatan Dalam Negara 1960, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dan lain-lain lagi.

Kelalaian penulis sama ada secara sengaja melanggari undang-undang, mungkin boleh menjejaskan pelaksanaan tugas seseorang penulis dan mereka boleh diambil tindakan sewajarnya.

Kesemua akta tersebut hanyalah peraturan tertentu tetapi penulis tidak dibela oleh undang-undang untuk mendapatkan haknya secara adil dari segi ganjaran terhadap karya-karya yang diterbitkan. Dengan itu, penerbit bebas menilai sesuatu karya itu dan jumlah ganjaran yang patut diberikan kepada penulis menurut kemahuannya.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya pihak persatuan-persatuan penulis, kerajaan serta badan-badan yang terlibat dengan media supaya menggubal satu undang-undang khusus untuk membela penulis dari setiap sudut yang boleh dinamakan “Akta Karyawan”.

Diharapkan, pada suatu masa nanti Akta Karyawan dan seumpamanya menjadi tiang peneguh kepada penulis supaya setiap penulis dapat menghasil dan menyumbangkan tulisan-tulisan yang bermutu di samping memperolehi ganjaran serta pengiktirafan yang adil.

Ini kerana, suatu masa penulis-penulis veteran akan “gugur” seorang demi seorang. Hanya yang tinggal adalah penulis-penulis muda sebagai penyambung warisan khazanah kesusasteraan tanah air.

Tercetaknya buku kerana lahirnya penulis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan