RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 30 November 2016

Paknik Nawi Pandai Besi


PAKNIK NAWI PANDAI BESI

TANAH MERAH, KELANTAN: Menjadi seorang tukang yang mahir khususnya tukang besi sehingga kepada peringkat “pandai besi” bukannya mudah, namun tidak mustahil dapat dilakukan jika meminati di bidang berkenaan diikuti dengan usaha yang berterusan ke arah itu. Namanya besi, sejenis bahan yang agak keras yang perlu dimasak dengan api yang paling panas seperti api “biru”. Namun, teknologi moden dewasa ini yang menggunakan kaedah “hidraulik” memudahkan seseorang tukang besi menyiapkan kerja dengan cepat dan pantas.

Namun, berapa keratkah orang-orang Melayu yang mengusahakan sebagai tukang besi dapat membeli peralatan hidraulik yang bernilai RM12,000 itu? Mahu tidak mahu, pengusaha Melayu terpaksa melakukan kerja sebagai tukang besi secara kecil-kecilan bermodalkan peralatan “manual” atau yang dibuat sendiri yang kadang-kadang memerlukan kudrat dan tenaga seorang lelaki, namun untuk mengharapkan peralatan manual itu segala kerja tentunya memerlukan masa beberapa hari untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun itulah hakikatnya, tukang-tukang besi Melayu tetap meneruskan legasi nenek moyang dari Cik Siti Wan Kembang bermodalkan sumber kewangan yang rendah sebagai tukang besi semata-mata meneruskan kesinambungan tukang-tukang besi terdahulu yang telah kembali mengadap Illahi.

Walau bagaimanapun, masih ramai lagi tukang-tukang besi yang meneruskan kesinambungan itu untuk mencari sesuap makanan atau mencari rezeki di bidang itu walaupun kini terdapat di kalangan mereka yang telahpun berusia sedekad. Tiada pihak yang cuba celik mata untuk melihat keadaan mereka yang masih meneruskan kecenderungan generasi terdahulu di bidang tukang besi. Mereka sewajarnya dibantu dalam banyak segi, kerana dengan watak merekalah nama Kelantan begitu gah di luar Kelantan bukan sahaja ke Kuala Lumpur, Johor tetapi juga sehingga menaikkan nama ke Thailand, Indonesia dan Singapura.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, salah seorang tukang besi yang telah berusia sedekad tetapi masih meneruskan di bidang berkenaan semata-mata minat dan melihat dengan membuat senjata tradisional Melayu sebenarnya ada unsur kesenian yang jarang dilihat oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi bagi pengusaha kecil-kecilan yang dimaksudkan, Nawi bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Paknik Nawi, 62, dari Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan begitu teruja setiap kali dapat menyiapkan bilah-bilah senjata yang dimaksudkan.

Katanya sejarah bermulanya beliau melibatkan diri sebagai tukang besi pada tahun 2013 lalu. Ditanya tentang minat menempa senjata, beliau menjelaskan, dia berminat dalam bidang berkenaan sejak kecil lagi. Beliau melihat beberapa foto orang-orang terdahulu yang menghasilkan senjata tradisional Melayu yang bernilai kesenian, bagaimana ilham dan kemampuan orang-orang tua (pakar senjata) ketika itu yang berjaya membuat lubang pada sarung golok dan sarung keris dan sebagainya.

Ketika itulah Paknik Nawi terfikir tentang kehebatan pakar-pakar dan tukang besi di kalangan orang-orang Melayu zaman itu. Berbeza dengan tukang besi pada hari ini yang juga telah menggunakan peralatan moden (menggunakan mesin), tentunya tukang besi pada zaman itu melalui laluan sukar untuk menghasilkan sesuatu produk senjata Melayu yang hebat dan bernilai seni.

Menurutnya, sejak kecil lagi dia sememangnya berminat dengan bidang berkenaan, namun apabila memasuki tentera, terpaksalah beliau meninggalkan bidang berkenaan kerana menumpukan kepada bidang tugasnya itu. Katanya menambah, ketika dia cuba tinggalkan bidang berkenaan kerana menumpukan kepada tugasnya, ketika itu minat terhadap tukang besi datang secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun menurutnya, ketika mempunyai ruang masa, dia meneruskan sebagai tukang besi kerana menganggapkannya sebagai darah dagingnya di bidang itu.

Pernah juga menurutnya, rakan-rakannya dan beberapa pegawai dalam tentera yang memintanya menghasilkan senjata yang diinginkan, beliau tetap menyiapkan sebagaimana yang diminta.

Menurutnya, selepas bersara dari tentera dia bekerja sebagai tukang rumah. Katanya, ketika bekerja sebagai tukang rumah dia melihat konsep membina rumah juga bernilai seni, namun disebabkan faktor usia, dia tidak dapat meneruskan kerja-kerja tersebut kerana penggunaan kayu, batu dan simen untuk menyiapkan rumah itu yang agak berat. Jadi, jika dia meneruskannya sebagai tukang rumah tentunya dia akan menghadapi masalah dengan kesihatannya nanti.

Paknik Nawi berkata, disebabkan ketiadaan kerja yang perlu dilakukannya apatah lagi perbelanjaan harian untuk makan minum keluarga perlu dicari, ketika itulah terlintas di fikirannya bahawa, bekerja sebagai tukang besi juga ada sumber rezeki yang terbaik sebagai mata pencariannya.

Di awal penglibatannya sebagai tukang besi, dia tidaklah semampu untuk melakukan sebagai tukang-tukang besi yang lain kerana belum mempunyai pengalaman sebagaimana hari ini. Ketika itu katanya, apabila ada tempahan dia akan menyerahkan kepada tukang besi Kemboja untuk disiapkan. Sebab untuk melibatkan diri sebagai tukang besi, perlukan ilmu sedangkan pada ketika itu hanya minatnya saja yang ada sedangkan ilmu yang berkaitan dengannya tiada. Semuanya beliau bergantung harap kepada pihak tukang besi Kemboja yang serba sedikit dapat dicedok dari pihak berkenaan.

“Di awal penglibatan sebagai tukang besi, kira-kira tiga atau empat bilah senjata yang rosak kerana tiada pengalaman untuk sepuh besi itu.

“Kalau berjaya menyiapkan senjata yang dimaksudkan, pastinya Paknik memperolehi RM30 sehari. Tetapi jika beri upah kepada pihak tukang besi Kemboja, hanya dapat RM5 saja”, jelasnya.

Menurut Paknik Nawi, kebanyakan peralatan senjata tradisional Melayu dapat disiapkan setelah bertahun-tahun mencuba dan membuatnya dan ketika itu dia telah memperolehi pengalaman hasil usahanya sendiri.

Menceritakan tentang bidangnya itu, dia sebenarnya tidak pernah mendapat dorongan, tunjukajar mahupun menuntut ilmu berkaitan dengan tukang tukang besi dari mana-mana guru untuk menghasilkan senjata tradisional Melayu itu. Kesemuanya dibuatnya sendiri menurut apa yang difikirkannya patut.

Ketika zaman kanak-kanaknya (usia 10 hingga 12 tahun), disebabkan terlalu minat kepada golok, beliau mendapatkan besi nipis, asah sehingga tajam, dengan mata (besi) panjang, lalu beliau mengambil buluh untuk dibuat ulu. Sementara zaman dia telah semakin berusia, fikiran semakin matang, dia boleh mencorakkan sendiri bentuk senjata itu. Bahkan katanya, kesemua peralatan untuk menghasilkan senjata itu dibuatnya sendiri.

Misalnya pengalamannya menebuk ulu hanya memerlukan masa sekitar 20 hingga 30 minit sahaja. Masalah menjadi lambat adalah ketika membentuk kayu berukuran “24” di mana kayu berkenaan uratnya agak songsang. Kalau dilakukan dengan parang tentunya kayu berkenaan akan pecah.   

Dia menghasilkan senjata tradisional Melayu itu kerana melihat di sebaliknya yang bernilai kesenian. Sejak itulah dia menghasilkannya dengan melihat senjata tradisional Melayu yang dihasilkan oleh tukang-tukang besi lalu dia cuba menerapkan (menggabungkan) kesenian dalam senjata yang pernah dilihatnya itu melalui ilhamnya pula yang didapati lebih kemas dan menarik. Jadi menurutnya, apabila menggabungkan kesenian orang lain menurut keseniannya sendiri tentunya senjata yang dihasilkannya itu akan berbeza dan dia berpuas hati dengan apa yang dibuat dan dihasilkannya.

Kebanyakan senjata tradisional Melayu dapat disiapkan pada masanya adalah hasil tempahan orang ramai di kalangan peminat senjata berkenaan. Bahkan kebanyakan tempahan itu dihantar melalui anaknya ke Semenyih, Kajang dan Ampang dan ada juga yang dihantar kepada kakitangan pejabat di Cyberjaya. Antara tempahan yang pernah diterimanya adalah terdiri daripada sekitar Tanah Merah, Bachok dan pihak jurulatih PLKN pernah menempahnya melebihi 20 bilah.

Setakat ini menurutnya, lebih 200 tempahan telah diterimanya dan berjaya disiapkan. Hasil penilaian pihak yang menempah menganggapkan beliau sememangnya pandai besi yang kaya dengan kesenian tersendiri.

“Lazimnya, tempahan diterima hanya sebilah sehari. Berbanding dengan tempat lain yang telah mengusahakannya sehingga 20 tahun. Kalau ikutkan, Paknik hanya baharu berkecimpung sebagai tukang besi sambilan sebab itulah hanya segelintir yang kenal”, katanya apabila ditanya tentang tempahan tersebut.

Membicarakan tentang bekalan besi pula, beliau memperolehi bekalan besi dengan membelinya di kedai besi buruk. Lazimnya, beliau hanya membeli besi jenis “spring kereta” sahaja kerana besi lain yang agak keras tentunya peralatan manual tidak mampu untuk dicanai kecuali menggunakan peralatan hidraulik.

Membicarakan tentang harganya pula, bagi sebilah senjata berukuran kira-kira (8 seinci), dia menjualnya dengan harga RM80. Harga ini termasuk mata dan sarung. Jika mata saja, dijualnya dengan harga RM35. Bagi sarung senjata dia meletakkan harga RM8 (untuk seinci). Namun, jika penempah itu datang sendiri ke rumahnya, memang agak tidak tergamak meletakkan harga pasaran, sebaliknya dia akan meletakkan harga standard sebanyak RM50 saja.

Katanya, berbanding dengan pengusaha lain yang menjualnya dengan harga RM1,000 bagi setiap bilah. Namun, bagi beliau di Kelantan ini, siapakah yang sanggup membeli dengan harga RM1,000 itu. Bagi beliau pula, beliau mampu mengusahakan senjata dalam konsep yang mampu dibeli oleh orang ramai, untuk menjualnya melebihi dari kemampuan orang ramai tentu orang ramai tidak akan membelinya.

“Masa yang diperlukan untuk menyiapkan sarung golok yang kecil (jika satu sarung saja) memerlukan masa dua hari.

“Sebaliknya jika lebih dari tiga batang memerlukan masa selama tiga hari (bermakna sebatang sehari).

“Manakala untuk menyiapkan mata golok itu pula memerlukan masa hanya dalam dua jam saja”, katanya.

Justeru, menjadi tukang besi tidaklah mudah dan dianggap terlalu senang jika berminat menceburi bidang itu apatah lagi sudah mempunyai ilmu tentangnya. Namun, tidaklah dianggap terlalu sukar jika sudah mula bertatih berkecimpung, cuma memerlukan ketekunan untuk terlibat secara langsung dengan bidang itu baharulah memperolehi kemahiran yang sepenuhnya. 

Untuk pertanyaan dan tempahan, sila hubungi Paknik Nawi di talian:  019-9651795

Nawi bin Hassan atau Paknik Nawi.

Paknik Nawi ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

 Gambar kenangan.

 
Paknik Nawi di bengkel yang dibuatnya sendiri.

 

Antara produk tempahan yang telah disiapkannya.




Inilah peralatan yang digunakan untuk menyiapkan senjata tradisional Melayu.

Papan tanda Kampung Belimbing, Tanah Merah.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan