BAHASA JIWA BANGSA
BIDALAN ada menyebut bahawa,
‘bahasa jiwa bangsa’. Ini bermakna ketinggian, kehebatan dan martabat sesuatu
bangsa adalah terletak kepada kekuatan dan penggunaan bahasa di negara
masing-masing. Rakyat yang menghormati bahasanya sendiri adalah rakyat yang bertamadun.
Undang-undang Malaysia di bawah
Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntuk bahawa, bahasa rasmi
negara adalah bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam
apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh
Parlimen.
Hakikat tersebut amat jelas dan
setiap rakyat wajar mengakui bahawa bahasa Melayu telah diiktiraf dan hendaklah
digunakan dalam apa juga urusan rasmi. Kita sebagai warganegara perlu
mengiktiraf bahasa kita sendiri sebelum mengiktiraf dan menggunakan bahasa
asing walaupun ada sesetengah pihak yang berpendapat bahasa asing adalah perlu
dan wajar diperluaskan dalam konteks pembangunan dan pendidikan hari ini.
Melalui pembelajaran di peringkat
pra-sekolah dan seterusnya sekolah rendah, bahasa Melayu telah diajar kepada
pelajar-pelajar dari tahap satu. Penggunaan bahasa kebangsaan ini kemudian
diteruskan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Namun, kita masih ragu-ragu
adakah para pelajar benar-benar memahami kehebatan bahasa negara mereka
sendiri?
Jika kita membaca hasil tulisan
pelajar-pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah, kita dapati
banyak kelemahan yang ketara khususnya kesalahan ejaan ataupun perbendaharaan
kata (kosa kata). Jika hal ini tidak diselesaikan, dibimbangi mereka tidak akan
mempedulikan bahasa sendiri apabila mereka telah menempuh alam pekerjaan. Jika
hal ini berlaku, bahasa Melayu bukan sahaja terus terpinggir bahkan akan
dipinggirkan oleh masyarakat Melayu di negara mereka sendiri.
Di negeri Kelantan umpamanya,
bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Haji Annuar Musa menyatakan,
kelemahan bahasa dan komunikasi pelajar-pelajar di Kelantan berterusan apabila
ada segelintir guru mengamalkan penggunaan bahasa daerah (loghat Kelantan).
Budaya menggunakan bahasa daerah semasa mengajar akan turut melemahkan
penggunaan bahasa Melayu itu sendiri dan secara tidak langsung turut
mempengaruhi pelajar-pelajar berkenaan.
Sebelum ini, terdapat sesetengah
sekolah yang mengadakan Minggu Bertutur Bahasa Inggeris kepada semua
pelajarnya. Pelajar-pelajar yang bertutur selain dari bahasa Inggeris pada
minggu berkenaan akan didenda. Jika dilihat kepada kesungguhan sekolah-sekolah
berkenaan yang mampu mengadakan minggu bahasa asing, kenapa tidak turut
menekankan Minggu Bertutur Bahasa Melayu supaya semua lapisan pelajar turut
menghargai bahasa mereka sendiri?
Sementara itu, kita juga berasa
gembira kerana bahasa kebangsaan turut diguna pakai dalam sektor korporat dan
semasa perbicaraan di mahkamah. Langkah kerajaan untuk mendaulatkan bahasa
Melayu di sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan amat membanggakan.
Penggunaannya wajar ditekankan
memandangkan ramai pelanggan di sektor perbankan sering merungut kerana
kebanyakan borang, surat
perjanjian serta dokumen penting menggunakan bahasa Inggeris yang tentunya
kurang difahami oleh sesetengah pelanggan mereka.
Langkah kerajaan melalui
Kementerian Kewangan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini adalah wajar,
sejajar dengan kepesatan industri perbankan negara. Jika bukan kakitangan bank
yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu yang menggunakan
bahasanya sendiri, siapa lagi? Sedangkan pelancong luar umpamanya dari Rusia
dan Jepun amat meminati bahasa kebangsaan kerana mudah dituturkan dan difahami,
kenapa pula kita rakyat Malaysia
sengaja menyisihkan bahasa kita sendiri?
Sesuatu bahasa dalam sesebuah
negara akan menjadi indah, dihormati dan dihargai apabila rakyatnya sendiri
menggunakan dan mendaulatkan bahasanya. Kita perlu mencontohi rakyat Jepun dan Thailand
yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing dalam apa juga urusan dalam
negara mahupun ketika berbicara dengan pelancong asing.
Malahan dikatakan para pelancong
asing tidak menghadapi masalah menggunakan bahasa kebangsaan di negara-negara
berkenaan termasuk mengamalkan adat dan kebudayaan mereka kerana
pelancong-pelancong berkenaan perlu mempelajari bahasa tersebut sebelum
melancong ke negara itu.
Sehubungan itu, kita sebagai
rakyat yang dilahirkan di bumi bertuah dan dapat bertutur dalam bahasa
kebangsaan perlu memainkan peranan utama supaya bahasa Melayu dapat disebarkan
ke serata pelosok dunia agar masyarakat dunia akan lebih mengenali Malaysia
melalui bahasanya.
Penghormatan bangsa yang tidak
terhingga terhadap bahasanya sendiri akan menyebabkan pelancong-pelancong asing
tidak jemu-jemu untuk bertandang ke negara ini. Ingatlah, jiwa sesuatu bangsa
itu adalah terletak kepada bahasanya. Maka daulatkanlah bahasa Melayu kerana
bahasa Melayu itu kaya dengan istilah daripada pelbagai bahasa di dunia.
Nota:
Foto sekadar hiasan artikel
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan