RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 10 Disember 2016

Kelebihan Wanita Taat Suami


KELEBIHAN WANITA TAAT SUAMI

TAAT bukanlah satu ungkapan remeh dalam erti kata yang sebenarnya. Taat dari sudut bahasa dapat ditafsirkan sebagai hormat, akur ataupun mematuhi sama ada melalui nasihat, perbuatan atau sikap. Dalam aspek ini, taat amat penting dalam kehidupan berkeluarga, baik sebagai anak, isteri mahupun suami.

Dalam kehidupan berkeluarga, sesebuah keluarga itu akan aman dan harmonis apabila anggotanya bersikap menghormati dan bertolak-ansur di antara satu sama lain. Hidup di dalam sesebuah keluarga perlu ada disiplin yang wajar dipatuhi. Maksudnya, satu ketika ada yang dibolehkan malah ada juga yang tidak dibolehkan. Malah pada satu ketika juga, perlu meminta keizinan apabila ia amat terdesak. Satu pihak dalam keluarga ini perlu ada sikap terbuka untuk memberi keizinan apabila ada permintaan di satu pihak lagi.

Sikap mentaati sesama pasangan di dalam keluarga merupakan satu sifat yang paling mulia. Tetapi sejak kebelakangan ini, kita dapati sikap ini semakin luntur dan terdapat sesetengah pasangan yang tidak menghormati sesama pasangannya apabila mereka telah berkeluarga berbanding sebelumnya yang sentiasa berjanji ingin berbuat demikian. Inilah satu kelemahan dan kecuaian manusia. Apabila mereka di dalam kesenangan, segala yang diucapkan telah dilupakan. Maka tinggal satu pihak lagi hidup dalam keadaan merana.

Dapat difahamkan bahawa, permasalahan di dalam keluarga yang didasari dengan cinta dan kasih saying mahupun sebaliknya, akhirnya terpaksa bercerai ekoran sikap taat-mentaati sesama pasangan telah luntur. Malahan ada di kalangan keluarga berkenaan yang kurang dan tidak memberikan perhatian langsung terhadap keluarganya ekoran kesenangan yang dikecapi.

Paling dikesalkan ialah, ada sesetengah di kalangan isteri yang menyalahkan suami mereka kononnya suami mereka tidak memberi perhatian wajar terhadapnya. Malahan kesalahan-kesalahan yang mengakibatkan kes-kes perceraian itu juga turut ditimpa di atas bahu bekas-bekas suami mereka. Ini adalah satu dakwaan yang tidak adil.

Hakikat sebenarnya, isteri yang sepatutnya pandai mengambil hati suami mereka. Pandai melayani kehendak suami adalah suatu perbuatan yang terbaik. Dalam hal ini, pernah beberapa lelaki menyatakan, lelaki menghargai isteri-isteri apabila isteri tahu apa yang dilakukannya itu. Keadaan ini menjadikan naluri lelaki mudah mengalah apabila berhadapan dengan belaian dan kemanjaan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita yang dicintainya.

Malahan apabila seorang lelaki telah beristeri dan semakin berusia, lelaki perlu sentiasa dibelai. Wanita tidak perlu terlalu mudah merajuk walaupun itu merupakan sikap utama wanita, membentak dan tidak mengendahkan nasihat serta kehendak setiap suami. Sikap sebegini seharusnya menjadi kebencian lelaki.

Oleh kerana lelaki sememangnya dilahirkan bersikap tegas dank eras, setiap wanita yang bergelar isteri perlu memahami kehendak suami masing-masing. Walaupu dari satu sudut ia dianggap satu perkara remeh bagi pandangan isteri, namun bagi sebahagian suami ia adalah satu perkara perkara besar dan membebankan. Isteri-isteri perlu pandai menilai setiap tingkah laku suami-suami mereka, apa yang disukainya dan tidak digemari oleh suami. Jangan menganggap isteri sahaja yang dapat berbuat demikian.

Berhubung dengan konsep taatkan suami, ia adalah satu tanggungjawab khusus yang wajib dipikul oleh setiap isteri. Taatkan suami ialah satu jalan yang menunjukkan seseorang isteri itu seorang yang solehah dan berperibadi mulia. Keadaan ini digambarkan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Wanita-wanita yang soleh itu ialah mereka yang taat kepada Allah dan suami mereka, memelihara kehormatan diri ketika suami tiada bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya”. (Surah An-Nisa’ : ayat 34)

Manakala di dalam sebuah hadis juga digambarkan tentang seorang wanita kaum Ansar yang tidak berpuas hati berhubung dengan pahala ibadat yang diperolehi oleh golongan wanita. Ini kerana, lelaki apabila mengerjakan ibadah wajib dan sunat, ia akan memperolehi pahala ibadat itu. Sebaliknya wanita terhalang oleh sebab-sebab tertentu. Kata-kata berkenaan memeranjatkan Nabi S.A.W  sehingga Nabi S.A.W  memberikan jawapan bahawa, satu perkara yang dapat menyamai pahala-pahala wanita dengan lelaki ialah apabila seseorang wanita itu taatkan suaminya.

Di dalam hadis lain juga diceritakan berhubung dengan kebaikan mentaati suami. Sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud:

“Dan mana-mana wanita yang menunggu suaminya pulang lalu disapukan mukanya, dihamparkan tempat duduknya, menyediakan makanannya, merenung suaminya atau memegang tangannya, memperelokkan hidangannya, memelihara anaknya dan memanfaatkan hartanya kepada suaminya kerana mencari keredhaan Allah, maka disuratkan baginya tiap-tiap kalimah ucapannya, tiap-tiap langkahnya, tiap-tiap renungannya kepada suami sebagaimana dimerdekakan seorang hamba”.
(Hadis riwayat Ibnu Mas’ud).

Di samping itu, betapa berharganya seseorang wanita mentaati suami mereka, wanita-wanita yang menunjukkan sikap acuh tidak acuh, tidak menyenangi suami dan sentiasa bermasam muka terhadap suami, wanita berkenaan dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka. Sebuah hadis Rasulullah S.A.W  yang bermaksud:

“Mana-mana wanita yang bermasam muka sehingga menyebabkan tersinggung hati suami, maka wanita tersebut dimurkai Allah sehingga dia bermanis muka dan tersenyum mesra kepada suami”.

Di dalam hadis lain disebut juga sebagaimana sabda Nabi S.A.W  yang bermaksud:

“Apabila lari wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya sehingga dia kembali menghulurkan tangan kepada suaminya untuk meminta maaf”.

Selain itu, kalangan isteri yang tidak menghiraukan ajakan suami walaupun ke tempat tidur juga dianggap sebagai mendurhaka. Mereka akan dikutuki malaikat sampai pagi dan sampai isteri-isteri berkenaan kembali kepada suami-suami mereka. Dalil ini amat jelas digarapkan dalam sebuah hadis sebagaimana yang diberitakan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W  bersabda:

“Kalau seseorang memanggil isterinya ke tempat tidur dan ia tidak mahu datang, maka malaikat mengutuki wanita itu sampai pagi”. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Para isteri juga perlu sedar bahawa, mereka adalah bakal isi neraka sekiranya masih meneruskan sikap mendurhaka dan enggan taatkan suami-suami mereka. Hal ini amat jelas sebagaimana sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas r.a, yang bermaksud:

“Orang banyak berkata kepada Rasulullah S.A.W. Kami melihat anda seolah-olah anda mengambil sesuatu di tempat anda, sesudah itu kami lihat pula anda berundur. Jawab Rasulullah S.A.W; “Aku melihat syurga, lalu aku ingin memetik buah-buahnya. Kalaulah buah-buahan itu dapat kupetik, sesungguhnya dapat untuk makanmu seumur dunia. Dan diperlihatkan pula kepadaku neraka. Belum pernah aku menyaksikan pemandangan yang sangat mengerikan seperti hari ini. Kulihat kebanyakan isinya kaum wanita”.

“Tanya mereka; “Kenapa begitu, ya Rasulullah? Jawab Baginda; “Kerana kekafiran mereka!” Tanya mereka; “Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah S.A.W; “Mereka kafir terhadap teman hidup (suami) mereka dan terhadap kebaikan yang diterima daripadanya. Sekalipun engkau telah berbuat baik kepada mereka sepanjang masa, kemudian dia melihat sesuatu kesalahan daripadamu, lantas ia berkata; “Saya tidak pernah sedikit pun melihat kebaikan daripadamu”. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Berikutan banyak kelebihan apabila seorang wanita mentaati suaminya, menjauhkan sikap tidak mempedulikan suami malahan kemurkaan Allah yang akan diterima oleh wanita-wanita yang enggan mentaati suami, adalah wajar setiap wanita mengambil pengajaran dan teladan supaya tidak melakukan tindakan yang merugikan diri sendiri.

Dalam hal ini juga, di hari kiamat nanti wanita-wanita akan ditanya tentang sembahyangnya, hak-hak suami terhadapnya. Dengan itu, keluarga terbaik dan harmonis kehidupannya apabila setiap suri-suri di dalam rumah itu sentiasa beriman dan sentiasa taatkan suami masing-masing menurut lunas-lunas Islam.

Nota: Foto adalah hiasan artikel

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan