MARTABATKAN BAHASA MELAYU
ADA pihak berasa jengkel menerima teguran
daripada pencinta bahasa Melayu yang tidak senang dengan penggunaan bahasa
Inggeris di beberapa sektor dalam negara yang begitu berleluasa. Kritikan
daripada segelintir pejuang bahasa Melayu terhadap penggunaan bahasa Inggeris
itu seolah-olah mencabar kewibawaan mereka.
Hal ini berlaku kerana mereka
beranggapan bahawa golongan yang mengkritik usaha menaiktarafkan bahasa
Inggeris sebagai golongan yang terpinggir daripada arus globalisasi.
Kesedaran perlu ada bahawa orang
Melayu yang dilahirkan di bumi Malaysia
semuanya bertutur dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu. Kita akan menjadi
miskin jika kita terus mengagungkan bahasa sendiri kerana sepatutnya kitalah
yang mendaulatkan bahasa kita sendiri.
Misalnya dalam konteks berdakwah
dan menyebarkan agama Islam kepada bangsa asing, kita perlu mempromosikan
bahawa agama Islam yang kita anuti adalah satu agama yang terbaik, dalam masa
yang sama tidak menjatuhkan dan merendah-rendahkan agama lain.
Atau dalam konteks perniagaan
pula, jika syarikat yang kita tubuhkan mengeluarkan produk sendiri, maka kita
perlu mempromosikan kebaikan, kelebihan mahupun keistimewaan produk yang kita
hasilkan itu supaya mendapat kepuasan dan kepercayaan pelanggan. Walau
bagaimanapun, dalam masa yang sama kita tidak boleh menjatuhkan atau
merendah-rendahkan produk daripada syarikat lain.
Begitu halnya dengan bahasa, kita
perlu mempromosikan kehebatan bahasa Melayu yang di dalamnya terkandung tamadun
berhemah, tutur yang sopan, jiwa yang murni dan saling menghormati antara satu
sama lain ke seluruh dunia kerana inilah adab dalam bahasa kita.
Memang benar bahawa Perkara 152,
Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
dan kebangsaan negara yang perlu dihormati oleh semua pihak. Namun perlu
disedari, jika kita tidak bekerja kuat untuk mendaulatkan bahasa Melayu,
bagaimana pula kita boleh berjaya untuk mendaulatkannya? Ini bermakna, bahasa
rasmi yang didaulatkan oleh undang-undang hanya laku di atas kertas semata-mata,
sebaliknya amat miskin di mata umum. Malah, kemiskinan bahasa kita juga
berpunca daripada segelintir dari bangsa kita sendiri.
Ibarat makanan yang terhidang di
atas meja, perut tidak akan berasa kenyang selagi kita tidak menjamah makanan
tersebut. Begitu halnya dengan prospek bahasa kita. Jika kita menganggap apa
yang tercatat di atas kertas itu sudah dikatakan hebat, sebaliknya kita hanya
berpeluk tubuh semata-mata, bagaimana pula dikatakan bahasa kita telah
didaulatkan dan dimartabatkan, sedangkan kita sendiri malas untuk berbuat
demikian.
Jika kita enggan mencanangkan
tentang kehebatan bahasa kita sendiri kepada orang-orang asing, kita juga tidak
akan mendapat taraf global pada peringkat antarabangsa. Dengan kata lain, kita
sering dijadikan alat dan bahan kajian kerana sikap kita sendiri yang lebih
memandang kehebatan orang lain daripada kehebatan diri sendiri. Hal ini tidak
sepatutnya berlaku jika kita berfikiran rasional dan sentiasa berpijak di bumi
nyata. Tetapi malangnya, kebanyakan daripada kita seolah-olah sudah menjadi
‘Melayu Mudah Lupa’.
Persoalan kosa kata Melayu yang
banyak digantikan dengan bahasa Inggeris bukan bermakna kita telah mencemarkan
dan merendahkan martabat bahasa sendiri, sebaliknya ia adalah satu proses untuk
memperkayakan bahasa kita. Apa yang penting di sini ialah membudayakan dan
mendaulatkan bahasa itu lebih penting.
Hari ini, mungkin pejuang bahasa
Melayu, golongan pencinta bahasa Melayu atau masyarakat Melayu sendiri telah
sedar dan merasakan perlu berganding bahu untuk mencari kaedah terbaik agar
bahasa ibunda kita dimartabatkan dan akan menjadi salah satu bahasa utama
dunia. Bahasa Melayu juga bukan sahaja menjadi bahan dalam pembelajaran, tetapi
juga sebagai bahan kajian dan rujukan.
Berhubung dengan mempromosikan
bahasa Melayu juga, tidak wajar jika kita hanya berserah kepada keadaan.
Individu yang gemar berserah kepada keadaan, tunggu dan lihat atau lebih teruk
lagi jika hanya mengikut arus, ke mana dibawa ombak, di situlah terdampar,
boleh dianggap sebagai ‘sampah’.
Sebagai bangsa Melayu yang
dilahirkan pandai bertutur dalam bahasa Melayu, kita perlu menjunjung bahasa
sendiri supaya bahasa Melayu berada setaraf atau sebaris dengan bahasa utama
dunia yang lain.
Kita sudah dapat melahirkan warga
yang berjaya mencatat sejarah mendaki Gunung Everest, belayar ke lautan bebas,
membuat penerbangan solo dan sebagainya. Kita juga telah berjaya melahirkan
cendikiawan dan pakar-pakar bahasa Melayu yang berwibawa untuk menggerakkan dan
memartabatkan bahasa Melayu, tetapi kenapa pula kita menyatakan mustahil untuk
menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang utama
kelak.
Masalahnya di sini ialah masih
wujud di kalangan orang-orang Melayu sendiri yang berasa rendah diri, gemar
menjadi pak turut dan berfikiran sempit, sebagai penyebab bahasa Melayu
tersadai dan hasrat untuk meneruskan perjuangan ke kemuncak seolah-olah
mustahil dan tidak berkesampaian.
Sebagai anak Melayu, menjadi
tanggungjawab kita untuk bangkit dan memberikan kerjasama dalam usaha untuk
mendaulatkan bahasa Melayu dan menempatkannya setaraf dengan bahasa-bahasa
utama dunia yang lain.
Perkara 152, Perlembagaan
Persekutuan berhubung dengan bahasa Melayu hanyalah sebagai pegangan, titik
tolak dan hala tuju supaya orang-orang Melayu tidak cuba mengasingkan diri dan
mementingkan diri dengan mengambil sikap berkecuali.
Masih wujud penggunaan bahasa rojak kerana sikap di kalangan masyarakat itu yang tidak peka dengan bahasanya sendiri.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan