WATAK JAHAT BARAT
WATAK-WATAK Barat sememangnya
jahat dan tidak boleh dipercayai walaupun pada zahirnya wajah-wajah mereka
nampak baik dan berbudi. Di sebalik kelihatan jujur dan berhasrat ingin
menolong sesetengah negara yang tertindas dan ditindas, sebenarnya tersurat
dengan segala niat yang dipendam.
Dalam hal ini, boleh jadi
terdapat beberapa buah negara Islam yang terhutang budi kepada Barat. Maka
Barat dengan kuasa yang ada di tangan ataupun ‘pucuk dicita ulam mendatang’
amat berterima kasih terhadap beberapa buah negara berkenaan yang memohon
pertolongan dari mereka. Dengan itu, ibarat orang berbudi kita berbahasa dan
orang memberi kita merasa. Begitulah juga dengan negara-negara Islam yang
diberikan pertolongan oleh kuasa-kuasa Barat itu.
Telah menjadi lumrah politik
Barat masa kini bahawa, apabila sesebuah negara itu meminta pertolongan mereka,
negara-negara yang ditolong perlu menerima beberapa syarat. Syarat-syarat
tersebut perlu dipatuhi. Jika enggan, kemungkinan bantuan kewangan, ketenteraan
dan mungkin juga bantuan makanan terpaksa disekat. Kita boleh lihat
negara-negara Islam yang menerima bantuan dari Barat seperti Sudan, Arab Saudi dan mungkin
banyak lagi negara-negara Islam yang menerima bantuan berkenaan. Tetapi dengan
syaratnya, segala penyebaran dakwah Islamiah hendaklah dikurangkan atau
diharamkan.
Sekiranya syarat-syarat ini yang
dikuatkuasakan, maka negara-negara Islam yang diberikan syarat itu patut berasa
malu dan bersalah. Malah mungkin negara-negara lain turut merasa pedih dengan
syarat itu. Kenapa tidak, apabila kegiatan penyebaran dakwah Islamiah dihalang,
maka kegiatan-kegiatan dakwah Islamian tidak sampai kepada tahap yang
dikehendaki dan seolah-olah dikongkong. Sampai bila Islam harus dikongkong atau
seperti ‘katak di bawah tempurung?’
Para
pemimpin di negara-negara Islam perlu sedar bahawa, apakah perlunya kita
mengambil sistem Barat dimasukkan ke dalam sistem Islam? Apakah Islam tidak
mempunyai sistemnya sendiri sehingga sanggup menerima ketuanan Barat dalam
segala segi sama ada ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya.
Apakah pendokong-pendokong Islam kini tidak lagi mampu untuk menyusun sistem
Islam yang diwarisi sejak zaman Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabat Baginda?
Oleh kerana Barat yang
sememangnya tidak jujur terhadap Islam, dengan kekuatan yang ada pada mereka,
mereka semakin berusaha dan merancang strategi dengan tujuan untuk memusnahkan
Islam dan umat-umatnya. Sepanjang sejarah, seringkali umat-umat Islam ditindas
malah dakwah dan pimpinan Islam diganggu-gugat. Banyak negara Islam yang
menerima nasib kezaliman Barat seperti Andalusia, Habsyah, Baitul
Maqdis, Libya, Somalia, Sudan,
Bosnia dan Chechnya. Dan
selepas ini, negara Islam manakah yang akan menjadi mangsa penindasan tersebut?
Berikutan pihak Barat memang
petah mengatus rancangan, banyak dari kepentingan di beberapa buah negara Islam
telah dikuasai dan dimusnahkan. Masjid-masjid yang didirikan dengan utuh dan
cantik telah diubah, dirosakkan dan dirobohkan. Malahan sesetengah masjid itu
telah diubah menjadi gereja. Perpustakaan Islam turut dibakar. Di samping umat
Islam yang terdiri daripada orang-orang awam dilakukan sesuka hati tanpa belas
kasihan. Golongan ulama diperkotak-katikkan. Sesetengahnya dibunuh, dibakar dan
golongan wanita diperkosa dengan rakus.
Dalam pada itu, kepedihan masih
lagi terasa sehingga kini apabila daerah Quds (Maqdis) yang telah dikuasai
golongan Yahudi dan Kristian sejak tahun 1967. Berdasarkan kepada kenyataan
Randolf yang dipetik dari Harbu
Al-Aiyami As-Sittah, halaman 29 menyatakan bahawa:
“Usaha untuk membebaskan Maqdis
dari kekuasaan kaum muslimin adalah cita-cita bersama Yahudi dan Kristian.
Kegembiraan umat Kristian tidak ada bezanya dengan umat Yahudi, bila daerah
Quds (Maqdis) sudah lepas dari kuasa muslimin. Dan gereja Yahudi mengeluarkan
tiga ketetapan yang memasukkan daerah Maqdis ke dalam kekuasaan Yahudi dan
daerah itu tidak akan kembali ke tangan muslimin meskipun nanti akan diadakan
berbagai perundingan antara muslimin dan Yahudi (Sumber: Hancurkan Islam dan
Leburkan Umatnya, terjemahan).
Berhubung dengan perkara-perkara
yang telah dinyatakan itu, pihak Barat yang terdiri dari Amerika dan
sekutu-sekutunya memang dari awal lagi telah menganggap bahawa Islam adalah
sebagai batu penghalang kepada kegiatan mereka. Apabila satu rancangan untuk
menaklukki Islam menemui jalan buntu dan ternyata gagal pada peringkat awalnya,
mereka mengatur rancangan lain dengan tujuan yang sama.
Di antara beberapa rancangan
Barat untuk menghapus dan menghancurkan Islam meliputi perkara-perkara berikut:
1. Melenyapkan Sistem
Pemerintahan Islam
Salah satu sistem pemerintahan
Islam yang menjadi kemarahan pihak Barat ialah hukum yang berlandaskan Al-Quran
iaitu hukum hudud. Mereka mendakwa hukum yang dijalankan di bawah kanun hudud
amat tidak adil dan boleh menyiksa manusia. Malah kata mereka, sistem Barat
yang berlandaskan sekular yang lebih adil dan patut diterima pakai oleh seluruh
umat manusia di seluruh dunia. Dengan itu, tidak hairanlah bahawa terdapat di
beberapa buah negara Islam yang turut mengamalkan sistem seperti ini yang
menganggap Barat lebih bijaksana.
Satu perkara yang ingin
dinyatakan bahawa, dakwah atau ajaran Islam amat penting di dalam sistem ini.
Apabila pemerintahan Islam dilenyapkan dari sesebuah negara, bermakna ajaran
Islam itu sendiri berkubur. Dan berkuburnya ajaran Islam merupakan cita-cita
Barat sejak sekian lama kerana seolah-olah satu jenis penyakit berbahaya yang mudah
berjangkit dalam kehidupan manusia. Inilah bentuk-bentuk dakyah Barat terhadap
pengetahuan dunia.
2. Menghapuskan Al-Quran dan
Meragukan Hadis
Pihak Barat mendakwa, untuk
menghapuskan Islam dan umat-umatnya ialah dengan cara menghapuskan Al-Quran.
Ini kerana, Al-Quran adalah sumber rujukan umat-umat Islam sebagai tenaga
kekuatan jitu yang secara langsung boleh mengalahkan musuh-musuh mereka.
Di samping itu, hadis-hadis Nabi
perlu diragui supaya umat-umat Islam akan mudah terpesong dan bercakaran sesama
sendiri kerana fahaman yang berbeza. Maka dalam persoalan ini, banyak hadis
palsu telah dibukukan, diedar dan dipaparkan dalam media sosial dan dijual ke
seluruh pelosok dunia. ‘Satanic Verses’ (Surah-surah Syaitan) karangan Salman
Rushdie adalah contoh jelas untuk melaga-lagakan seluruh umat Islam supaya
menjadi murtad dan menganggap agama lain yang betul.
3. Hancurkan Akhlak dan Pemikiran
Muslim
Ini merupakan satu tindakan
berani dan penuh terancang untuk menghancurkan Islam dari muka bumi ini.
Langkah yang paling bijak ialah dengan menyalurkan perubahan dan pemikiran
melalui media cetak dan elektronik. Mereka menulis buku dan menyebarkan
maklumat menggunakan siaran bergambar melalui televisyen, komputer dan video
yang menggunakan Lebuhraya Maklumat (Internet). Paling menjadi tumpuan mereka
ialah golongan remaja. Apabila akhlak telah menjadi liar, perbuatan membunuh,
merompak, menyeludup, rasuah, merogol dan sebagainya dapat dilakukan seperti
pekerjaan biasa.
Di samping itu, mereka juga
mendakwa kononnya kegiatan sukan seperti bolasepak, badminton dan tinju sebagai
satu langkah menjaga kesihatan. Padahal tinju boleh membawa kepada permusuhan,
memudaratkan kesihatan di samping menyebabkan seseorang menderita dan boleh
membawa maut. Ia juga turut menyumbang pembaziran ke arah pembaziran wang dan
masa.
Manakala bolasepak dan badminton
kerap diadakan sewaktu solat. Permintaan sukan badminton dan bolasepak di
kalangan sesetengah orang Islam tidak akan melepaskan peluang ini dan amat rugi
jika tidak menonton atau mengikut perkembangan bidang berkenaan bermula dari
awal hingga akhir.
Justeru, solat jika dikerjakan
dianggap mendirikan dan meneguhkan tiang agama. Malah jika ditinggalkan, maka
akan runtuhlah agama itu. Dengan itu, inilah peranan pihak Barat bahawa, satu
langkah untuk melenyapkan Islam ialah dengan melalaikan waktu solat. Keadaan
ini memberikan gambaran bahawa, dua senjata yang terpaksa dihadapi oleh setiap
muslim ialah pihak Barat dan syaitan.
Selain itu, hiburan dan nyanyian
yang melalaikan juga turut didakwa kononnya memberi kepuasan kepada pendengar
yang sentiasa dahagakan hiburan. Remaja-remaja yang terlalu rindukan hiburan
yang mengasyikkan tidak ingin melepaskan peluang seumpama ini. Mereka sanggup
mengeluarkan wang dan mengorbankan waktu solat semata-mata rindukan hiburan atau
tokoh-tokoh penyanyi dan pelakon idaman. Keadaan ini sekaligus, budaya Yahudi
melalui hiburan dapat diterapkan di hati remaja muslim supaya menganggapkan
nyanyian itu dapat mengubati naluri muda mudi, malah wang berkenaan kononnya
dapat disalurkan kepada badan-badan amal mereka. Secara langsung atau tidak,
amalan membaca dan menghayati Al-Quran diketepikan. Maka lahirlah remaja yang
tidak bermoral, perosak diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.
Sementara itu, sebelum ini ramai
di kalangan remaja yang meniru fesyen dan merubah fesyen rambut, breakdance dan
pakaian. Ramai juga di kalangan remaja lelaki yang telah terpengaruh dengan
saranan Barat itu dengan meniru fesyern rambut “punk” dan mewarnakan rambut
masing-masing. Justeru, soal berpakaian juga turut menjadi kegilaan di kalangan
remaja perempuan dengan meniru cara berpakaian mereka sebagai fesyen terkini
yang terlalu ketat dan sendat sehingga menampakkan anggota tubuh, malah ada di
kalangan mereka yang dianggap tidak berpakaian malah bertelanjang.
Selepas itu, timbul pula budaya
lepak, bohsia dan bohjan. Budaya ini dianggap buruk kerana terdapat di kalangan
remaja muslim yang membuang masa tanpa memperhitungkan bahawa merekalah harapan
agama dan negara di masa akan datang.
Turut disebarkan juga, minuman
arak dan merokok dapat menjadikan seseorang sebagai lelaki sejati, dapat
menghindarkan segala kekecewaan dan seolah-olah dapat berfikir dengan tenang
walaupun pada hakikatnya kedua-dua barangan tersebut membahayakan kesihatan dan
telah diharamkan di alam Islam, sebagai satu cara membazirkan wang, menubuhkan
bibit-bibit yang buruk, meneguhkan firma-firma Yahudi serta membunuh sesame
umat Islam.
4. Rosakkan Wanita dan Galakkan
Pergaulan Bebas
Langkah yang paling terkutuk
sebagaimana yang dilakukan Barat yang terdiri dari golongan Yahudi dan Zionis
ialah merosakkan wanita di samping menggalakkan ‘pergaulan bebas’ sama ada di
kalangan lelaki, gadis-gadis remaja dan wanita Islam yang telah bersuami.
Gadis remaja yang sememangnya
ingin hidup bebas dari kongkongan keluarga kerap terpedaya dengan tipu helah
mereka. Dengan itu, gadis remaja tanpa segan silu bergaul bebas dengan lelaki
yang kononnya berbudi kepada mereka, tanpa usul periksa terus menerima pelawaan
teman lelaki sehingga sanggup dibawa ke masa saja yang dipinta. Maka disebabkan
hal itu, timbullah berbagai kejadian pemerkosaan dan persetubuhan haram dan
akibatnya lahirlah anak-anak luar nikah yang akhirnya sebagai jalan
penyelesaian untuk menutup malu ialah dengan membuang bayi-bayi yang tidak
berdosa.
Malahan wanita-wanita yang ingin
memperolehi kekayaan dan kesenangan malah hidup dalam kegersangan pula juga
diajak dan dianjurkan untuk melacurkan diri sebagai jalan mudah untuk
mendapatkan kemewahan. Mereka kerap memaparkan wanita-wanita yang mempunyai
tubuh menarik, menggiurkan dan meruntun nafsu telah menemui kesenangan hakiki
dengan cara menjual dan memperdagangkan tubuh. Dalam hal ini, kononnya
wanita-wanita berkenaan akan dapat kedua-dua sekali iaitu wang ringgit dan
kepuasan nafsu.
Maka dengan cara meniru segala
sikap, tingkahlaku dan perbuatan golongan berkenaan telah menjerumuskan
wanita-wanita ke kancah penzinaan dan persetubuhan haram. Oleh itu, tidak
hairanlah bahawa terdapat sesetengah di kalangan wanita Islam yang telah
bersuami dua kerana inginkan wang ringgit sebagai habuan dunia dan kepuasan
nafsu serakah mereka.
Persoalan ini perlu diberikan
perhatian bersama dan patut diselesaikan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak
supaya remaja lelaki dan perempuan serta wanita yang begitu lemah imannya tidak
mudah terperangkap dan terpedaya dengan pihak Barat dan konco-konconya yang
pada hakikatnya mereka sememangnya antikan Islam sejak dulu.
Ini kerana, Barat yang terdiri
dari Yahudi, Kristian dan Zionis sememangnya ingin menghancurkan Islam dan
penganut-penganutnya denga pelbagai helah. Keadaan ini pernah digarapkan di
dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T
yang bermaksud:
“Mereka bermaksud hendak memadam
cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan
cahaya-Nya, biarpun orang-orang yang kafir itu tiada menyukai”. (Surah
As-Shaff: 8)
Berikutan itu, kita sebagai umat
Islam ditegah dari menurut jejak langkah sesuatu kaum. Ini kerana, menurut
jejak langkah mereka (kaum yang kafir) seolah-olah termasuk dalam golongan
mereka bahkan mereka akan menyerutkan kita ke belakang lalu mendapat kerugian.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman!
Kalau kamu turut orang-orang yang tidak beriman itu, nescaya mereka akan
menyerutkan kamu ke belakang, lalu kamu pulang dengan mendapat kerugian”.
(Surah Ali Imran: 149)
Justeru, bersiap sedialah dari
sekarang untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan helah dan prasangka buruk
Barat yang seringkali merancang untuk melenyapkan Islam dan umat-umatnya dari
dunia ini. Kerana itu, Allah S.W.T
adalah Pelindung dan Penolong kepada kita. Jika kita menolong agama
Allah (Islam), nescaya Allah akan menolong dan mengukuhkan kekuatan Islam dan
umat-umat-Nya.
Nota:
Foto Sekadar Hiasan
Sumber Foto:
AntaraNews.Com
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan